Coretan Julai 2008

ALYA INSIRAH YANG DIRINDUI

Johor, hari ini cuti umum. Blog ini dahagakan ‘entry’ baru. Saya pula kekeringan idea. Namun saya gagahi jua mencari isu yang boleh dibincangkan di sini.

Alhamdulillah, saya sudah pun duduk di rumah baru. Rumah lama tapi penghuni baru. Hijrah untuk mendapatkan suasana baru.

Hampir seminggu pelajar UTM memulakan pengajian di semester baru. teringat ketika zaman belajar dulu. Semoga kerinduan ini, akan memberikan inspirasi untuk melanjutkan pelajaran lagi. Jiwa saya tidak sesuai di bidang kejuruteraan, bekerja di sektor industri. Mungkin jiwa saya lebih terarah di bidang pendidikan.

Tambahan pula, saya selalu bergumal dengan pelajar, pak Profesor. Mana mungkin saya tidak tergiur untuk terjun aktif di kancah pendidikan ini. Politik? Maaf, saya melupakan sebentar dari rencah politik tetapi itu tidak bermakna saya tidak prihatin dengan apa yang berlaku.

Pernah saya ‘bertegang sms’ dengan seorang teman membincangkan politik Malaysia.  Sampaikan saya di tuduhnya orang kuat UMNO, semata-mata saya mengkritik parti anutannya. Wah, kalau menjadi ahli sesebuah parti, lagi-lagi bergelar aktivis serupa macam kita berakidahkan ajaran parti itu yea. Lebih-lebih lagi ada saudara rapat beliau pernah di tahan ISA, mungkin kebencian beliau kepada UMNO itu melangkaui semua orang yang kelihatan nadanya menyokong UMNO.Agaknya semua orang politik begini peelnya.

Naik pening juga memikirkan perkara-perkara begini. Namun, itulah sekelumit kisah yang saya lalui. Walaupun nampak kecil tetapi ia mendatangkan bekas pada diri saya. Saya mengangap beliau teman rapat saya, tetapi kerana berbeza pandangan, saya terasa di pandang jijik, mungkin bernajis tetapi tidaklah sampai perlu di samak apabila sudah didekati.

Akhirnya, biarlah saya menempuh jalan untuk memandaikan bangsa saya. Bercita-cita menjadi pendidik buat menerangi kegelapan umat. Walaupun saya bukanlah sumber cahaya, tetapi saya berdoa agar dapat saya kutip cahaya itu untuk di sebarkan kepada umat ini.

Mungkin saya kerdil tetapi izinkanlah saya berjiwa besar. Di luar sana, politikus masing-masing sedang melemparkan fitnah, melancarkan peluru untuk menjatuhkan lawan masing-masing. Politikus yang baik masih ramai lagi walaupun seolah cuaca politik Malaysia semakin kotor.

Seperti yang lain, saya sentiasa berdoa agar politik bersih kembali mewarnai persada politik negara.

Sebelum itu, benarkanlah perbezaaan pendapat. Usahlah terlalu menghukum. Saya bukanlah sehebat sang politikus namun apabila di anggap seperti sampah kerana kita berlainan pandangan, lupakanlah niat untuk menjadi ahli politik yang baik.

Walhasilnya, kita perlu banyak belajar dengan masyarakat Cina Malaysia. Tidak salah kalau mengambil yang baik walaupun dari orang bukan Islam.

Tiada komen »

Akhirnya saya meninggalkan U3A-402,Kolej Perdana UTM

Saya tahu, minggu ini berita paling hangat adalah mengenai kes liwat Anwar Ibrahim, akuan bersumpah Raja Petra dan beberapa lagi berita politik yang pada pengamatan saya amat menjijikkan lagi memualkan.

Maaf, di fikiran saya ,  kerana kuasa orang sanggup berbuat apa sahaja. Walau pun , ia di larang oleh agama.

Apa pun, doa saya agar pemimpin yang bersih , baik serta ikhlas memimpin umat ini dapat memunculkan dirinya. Malu juga, apabila melihat pemimpin Melayu bercakaran tapi pada masa yang sama, pemimpin kaum lain sedaya upaya mengukuhkan kelangsungan bangsa mereka di Malaysia ini. Walaupun berlainan mazhab politik tetapi yang penting survival dan tuntutan kaum mereka di tuntut sejak sekian lama dulu akhirnya sedikit demi sedikit dapat di penuhi.

Ah, persetankan pergolakan politik tanah air!

Akhirnya, hari ini, Rabu, tanggal 2 Julai 2008, selepas waktu Asar, secara rasminya saya akan meninggalakan rumah sewaan saya di KoleJ Perdana ini

Kenangan? Sudah tentu akan bersemi dalan ingatan. Semoga hijrah saya akan mendekatkan diri dengan Allah. Saya merasa sedikit tergugah kerana talian internet tiada di sediakan di rumah baru. Mungkin saya akan rasa canggung dan sedikit ralat kerana aktiviti malam saya mungkin akan berubah. Paling tidak pun, waktu malam saya boleh habiskan menelaah buku yang bertimbun banyak atau pun bermuhasabah.

Sekali lagi, perpindahan ini adalah hijrah bagi diri saya, itu lah harapan saya.

hijrah, di tempat yang baru, suasana yang baru , azam yang baru serta keimaanan yang bertambah kalau turun pun ia tidak terlalu lama. Ameen

Salam Hijrah

Komen (6) »

Pindah Rumah

Jun 2008, bulan terakhir saya menetap di Rumah Kelamin, Kolej Perdana UTM Skudai!

Saya dan isteri mula mendiami rumah ini pada 27/12/2006, akhirnya pada 30/6/2008 saya akan mengucapkan selamat tinggal kepada kenangan kami di rumah ini.

Lumayan, dengan hanya membayar RM 420 sebulan, di tambah dengan segala kelengkapan di sediakan termasuk, perabot, internet , air dan elektrik percuma, saya berasa sedih untuk meninggalkan rumah ini.

Dari tinggal berdua, sehinggalah kami didatangi oleh Alya Insyirah , sudah pastilah ada kenangan yang tidak dapat di lupakan. Tambahan pula, inilah rumah pertama di diami setelah berkahwin. Walaupun , berjiran dengan pelajar antarabangsa tetapi, kami dapat menyesuaikan diri.

Harapan kami, suatu masa nanti, kami akan mempunyai rumah yang berdekatan masjid, mempunyai jiran yang baik serta rumah itu selesa buat kami anak beranak beristirehat.

Untungnya berkahwin di usia muda, kami cepat dewasa dengan tuntutan zaman yang kami lalui. Mahu atau tidak , strategi perlu di susun agar kami dapat mencipta ketenangan dalam rumah tangga kami. Perkahwinan tidak akan selesai setelah akad nikah dan mempunyai anak, tetapi kehidupan baru sahaja bermula selepas akad nikah dan mempunyai cahaya mata.

Malah, perkahwinan bukanlah sekada ucapan sayang dan manis namun ia adalah sebuah tanggungjawab. Ya, ia juga adalah sebuah tuntutan mendapat redha Allah. Saya masih belajar mengenai kehidupan, moga kapal yang saya  ketuai ini tidak tenggelam di tengah arus dunia yang menipu. Saya ingin menjadi kapten yang berkarismatik, mempunyai misi serta visi, segalanya bertitik tolak ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Ada orang yang bahagia di dunia namun akhiratnya digadaikan. Saya tidak percaya, orang yang mengejar akhirat semata akan berjaya kerana, untuk mendapatkan akhirat jambatannya adalah dunia. Pelik bukan kalau ingin berjaya di akhirat tanpa melalui jambatan dunia. Tidak mungkin mereka ini terbang terus menuju akhirat kerana dunia lah satu-satunya jalan menuju akhirat. Bersetuju dengan saya?

Komen (4) »

Semangat Juang!

Apabila rakan saya, Hisyam, menceritakan tajuk semangat juang ini, saya sedar betapa sebagai manusia biasa mahu atau tidak kita mestilah mempunyai semangat juang yang kukuh serta tidak mudah menyerah kalah.

Yang amat mengagumkan saya, rakan saya ini melakukan 3 kerja sekaligus, pada hemat saya perlu di puji. Malah, harapan saya beliau akan menamatkan zaman bujangnya lebih awal seperti yang drancangnya bersama teman istimewanya.

Ops, saya bukan hendak bercerita mengenai beliau namun pokok pangkal artikel saya kali ini adalah berkaitan Semangat Juang. Saya, apabila inginkan sesuatu , saya tidak pernah putus asa untuk mendaptkannya. Alhamdulillah, apabila saya ingin berkahwin semangat juang yang tinggi ini lah yang saya bawa, begitu juga ketika saya ingin melanjutkan pelajaran ke Kolej Mara Kulim serta UTM. Tetapi faktor doa dan usaha tidak lah menjadi faktor ke belakang.

Apa yang ingin saya simpulkan, di mana ada kemahuan di situ ada kejayaan. Walaupun peribahasa ini seperti typical namun pada saya ia mempunyai erti yang mendalam. Saya menyedari apabila semangat juang saya lemah maka tiada apa lah yang saya boleh harapkan untuk memiliki yang saya inginkan.

Justeru, buat rakan-rakan, usahlah berputus asa dalam hidup ini. Kukuhkan semangat juang, berusahalah sehingga berjaya. Jangan lupa berdoa kepada Allah, kerana doa adalah senjata bagi seorang mukmin. Bayangkan bagaimana keadaannya berperang tanpa senjata hanya mengharapkan batang tubuh semata. Sedangkan Allah sudah menyediakan senjata ini secara percuma. Bukankah itu satu kerugian yang besar.

Komen (1) »

Setahun berlalu

Hari ini genap setahun saya bergelar blogger.

“Abang ni, bila lah nak buat buku,asyik tulis blog aja”

Keluh isteri saya, melihat kesungguhan saya menjadi seorang blogger, lantaran di rumah bertimbun buku namun saya hanya setia menjadi pembaca tidak mampu untuk menjadi seorang penulis buku lagi.

Sepanjang setahun menjadi blogger, ramai kenalan baru saya perolehi, Alhamdulillah. Walaupun blog saya bukanlah blog yang popular tetapi saya puas!

Puas, berkongsi dengan rakan taulan , pengunjung alam maya ini. Malah, kehadiran saya di alam maya ini kerana teringat dengan pesan Buya HAMKA, apabila membaca, kita pasti akan mengikatnya dengan tulisan.

Justeru, bermodalkan 96 artikel di blog ini, sudah pasti akan bertambah lagi, saya sentiasa berdoa agar langkah awal saya ini akan di susuli dengan kehadiran buku saya di pasaran.

Oh, sebelum terlupa, mungkin buku sulung saya itu akan bertemakan kepimpinan. Bila agaknya akan terbit? Hanya masa yang menentukan. Tunggu kehadiran buku saya.

Terima kasih buat teman-teman yang sudi mengunjungi blog ini. Moga ada manfaat yang diperolehi. Ameen

Komen (4) »

Persatuan Mahasiswa Islam UTM (Sebuah coretan)

Terkenang sewaktu saya dan rakan-rakan bersama-sama menjalankan aktiviti dakwah di kampus. Ia adalah kenangan indah yang pernah terakam dalam sejarah hidup saya. Saya tidak pernah mengikuti pengajian ilmu Islam secara khusus. Namun, apabila saya berada di UTM, saya berjumpa dengan teman-teman yang mengikuti sistem pendidikan Islam yang lebih baik daripada yang saya perolehi di sekolah dulu.

Mana tidaknya, mereka bekas pelajar sekolah agama seperti KISAS, Maahad Muhammadi dan sekolah agama lain yang bertebaran di seluruh Malaysia. Cuma, paling tidak pun saya dapat mengambil sesuatu yang berguna sepanjang saya menuntut di UTM.

Paling indah, apabila rakan-rakan ini mengenalkan saya dengan pengajiaan di pondok. Walaupun hanya untuk tempoh sekitar 2 minggu tetapi saya berpeluang belajar sesuatu yag baru.

Ia kini tinggal kenangan, saya masih menginggati kenangan itu. Apa yang boleh saya katakan, universiti sedikit sebanyak membentuk watak diri saya dalam menuju kesempurnaan menjadi hamba Allah.

Tidak di lupakan juga Persatuan Mahasiswa Islam UTM, sesi 2001-2007, rakan pimpinan mahu pun akan ahli sekalian. Doa saya, PMI UTM akan terus MEMPERKASA IDEALISME PERJUANGAN MAHASISWA ISLAM. Moga, PMI UTM dapat merobohkan kejahilan yang sedang menimpa segelintir mahasiswa yang sedang leka di buai gejala hedonisme ( seronok-seronok)

Hidup Mahasiswa hari ini adalah penentu kepada kejayaan negara di masa hadapan. Alangkah indahnya sewaktu bergelar mahasiswa namun lebih indah lagi menghadapi kehidupan yang mendatang.

Komen (3) »

Saya Pakar Motivasi

Dari satu blog ke satu blog satu bergayut, politik ke motivasi, terus ke isu semasa yang lain, tiba-tiba terjumpa blog ini, http://www.razzirahman.com. Pastinya isu yang ingin saya kemukan di sini, Bro Love.

Wah, rupa-rupanya, Razzi Rahman ini belum berkahwin, namun blog beliau dikunjungi oleh orang yang sudah berkahwin, mencari cas untuk menyegarkan gerbang perkahwinan yang makin pudar, kusam warna perkahwinan yang makin hilang serinya.

Apa kurang beliau dengan saya? Sudah tentu saya ada kelebihan tersendiri. Sudah berkahwin, mempunyai seorang cahaya mata, pernah melalui pahit getir berkahwin semasa belajar, kini hidup jauh dari isteri.Barang kali, semua ini kredit untuk saya. Bukankah pengalaman itu tidak bernilai harganya?

Justeru, mulai saat ini, sesiapa yang ingin berkongsi pengalaman, cerita dan petua untuk menyerikan lagi nilai cinta, saya sedia membantu…

Namun, hakikatnya, tiada apa dalam diri saya. Saya hanyalah insan dhaif, sekadar untuk berkongsi pengalaman. Moga, ada yang boleh mengambil manfaat.

Komen (4) »

SEDIH

Apabila menghadapi kesusahan atau pun diri menghadapi tekanan, bagaimana kita melepaskan diri? Saya pasti, di Malaysia kini, antara masalah yang menghantui rakyat adalah kenaikan harga minyak yang menyesakkan jiwa. Itu belum lagi buat teman-teman yang masih mencari bakal suami atau pun  isteri. Hati penuh dengan keluh kesah, iri hati melihat rakan-rakan yang telah meniti hari bahagia, hidup bekeluarga sambil merancang masa depan yang bahagia, sedangkan empunya diri terkontang kanting mencari putera idaman atau pun puteri impian.

Tidak pun bagi mereka yang menghadapi masalah rumah tangga, cemburu melihat kebahagian orang lain. Setiap hari kehidupan mereka berantakan. Si isteri meragui kesetian suami, sang suami curiga akan kejujuran si isteri. Mungkin curang di belakang, siapa yang tahu? Atau pun, yang telah lama mendirikan rumah tangga namun masih lagi menantian cahaya mata yang masih belum tiba.

Beginilah seputar kisah dalam kehidupan.Setiap permasalahan, adalah ujian yang Allah berikan agar kita merenung kembali, hijab yang menghalang keberkatan dalam hidup. Atau pun Allah beri ujian ini buat penebus dosa supaya di akhirat kelak kita menjadi insan bahagia. Walau apa pun yang berlaku, carilah Allah, kerana nampak Allah itu jauh tetapi Allah itu terlalu dekat dengan kita.

Usahlah berputus asa dengan rahmat Allah. Moga-moga yang mencari pasangan hidup akan dikurniakan suami yang beriman, isteri yang solehah. Bagi keluarga yang berantakan hidupnya, berdoalah agar Allah akan beri sakinah , rahmat dan mawaddah buat keluarga ini. Malah, yang masih menantikan cahaya mata, lambatnya rezeki Allah ini, rupa-rupanya Allah akan memberikan si kecil yang cerdik,beriman dan hafaz quran apabila besar kelak. Moga akan mendoakan buat ibu dan ayahnya.

Inilah hidup, kerana itu janganlah putuskan hubungan dengan Allah. Jangan sekali-kali.Hanya Allah lah tempat pergantungan yang tidak pernah mengecewakan. Percayalah!

Komen (5) »

Syeikh Rashid Mishary al-afasy

Pertama kali saya mendengar suara Syeikh Rashid Mashari al-Fasi, 3 tahun yang lalu. Ketika itu Ramadhan hampir menjelang tiba. Waktu itu saya belum mempunyai isteri apatah lagi Alya Insyirah masih berada di alam roh. Namun, kehadiran mereka berdua selalu saya dambakan lewat doa ketika Ramadhan. Setiap lepas solat tarawikh, saya akan solat hajat, memohon kepada Allah, agar memanjangkan jodoh saya dengan gadis yang telah menambat hati saya (kini sudah menjadi isteri. Alhamdulillah) Entahlah, apabila berada dalam bulan Ramadhan, perasaan saya sungguh lain. Tenang, seperti seronok berjumpa kekasih bahkan lebih hebat lagi perasaan yang saya alami.

Paling syahdu, sambil mendengar bacaan quran Syeikh Rashid Mashari ini, saya tersedu sedan menangis mendengarkan bacaannya yang lunak. Seolah-olah saya mengerti apa yang dibacanya. Masih terakam lagi di benak hati saya, sambil ligat otak saya mengimbau kenangan indah  ketika bujang di bulan Ramadhan.

Saya berkejaran, mencari di manakah masjid yang diimamkan mereka yang mempunyai bacaan yang lunak, fasih dan meruntun hati bagi yang mendengarnya. Dari masjid UTM, mencari ke Masjid Senai, pergi ke Masjid Bandar Baru Uda dan beberapa masjid lagi yang pernah saya dan rakan singgah untuk mendapat berkat Ramadhan.

Kini, saya tetap menjadi peminat setia syeikh ini. Aduhai, saya terpesona apabila mendengar bacaan syeikh ini. Apabila dilagukan dan dibaca dengan tartilnya, akan terpancarlah mukjizat al-quran ini. Bukankah Rasulullah suka benar mendengar bacaan Muaz bin Jabal?

Ya Allah, berkatilah kami dengan al-quran, tambahkanlah ilmu kami dengan al-Quran…

Komen (3) »

Silaturahim (Dedikasi buat Isteri tercinta)

Alhamdulillah, antara nikmat yang Allah beri kepada saya, ALLAH kurniakan seorang isteri yang baik, comel serta penyayang. Lagi-lagi dengan kehadiran Alya Insyirah yang banyak akalnya, keletah perwatakannya serta lincah kelakuannya.

Semoga Allah akan berkati keluarga kami, memberikan rahmat buat kami sekeluarga.

Silatulrahim

Engkaulah rohaniku
Mengalir di jiwa
Kau nur berkilauan
Di jantungku
Nafas kuhela menyebut
Indah namamu
Kau yang satu

Aku saksikan ujian
Alam terbentang
Namun dirimu jadi pujaan
Walau diganti di tangan
Bulan dan bintang
Rela denganmu disatukan

( korus )
Kucari kutanya
Hanya sebut namamu
Ku sedar ku lena
Kau tetap bersama

Kini kau yang kumiliki
Nama rupa dan cara
Bersatu jasad dan nyawaku
Kita serupa

Sempurna janji kita
Bersaksikan bumi
Dan tujuh petala langit tinggi
Aku pasti
Merasai cinta suci
Silatulrahim

( solo )

( ulang korus )

Kasihmu tiada dapat ku cari ganti
Hinggaku rela hancur keranamu
Tiada kata dapat kulafazkan lagi
Waktu di syurgawi cintamu

Komen (3) »